Aplikasi-aplikasi Keseimbangan Terma


Oven


  1. Apabila makanan seperti kek atau roti yang berada pada suhu yang lebih rendah dimasukkan ke dalam oven, makanan itu menyerap tenaga pada kadar yang lebih tinggi daripada membebaskan tenaga.
  2. Oleh itu, suhu makanan itu meningkat naik.
  3. Selepas suatu masa, makanan itu mencapai keseimbangan terma dengan oven.
  4. Pada masa ini, pemindahan bersih tenaga antara oven dengan makanan adalah sifar. Suhu makanan menjadi sama dengan suhu ketuhar sehingga makanan itu masak.


Peti Sejuk

  1. Apabila makanan dimasukkan ke dalam peti sejuk, tenaga haba daripada makanan dipindah kepada udara di dalam peti sejuk.
  2. Proses ini berlanjutan sehingga keseimbangan terma tercapai antara makanan dan udara dalam peti sejuk di mana suhu makanan sama dengan suhu di dalam peti sejuk.


Termometer

  1. Termometer klinik diletakkan di bawah lidah pesakit supaya terdapat sentuhan haba yang baik antara termometer dengan badan pesakit.
  2. Termometer itu dibiarkan lebih kurang 1 minit untuk mencapai keseimbangan terma dengan badan pesakit.
  3. Selepas keseimbangan terma dicapai, suhu termometer adalah sama dengan suhu badan pesakit itu dan bacaan termometer adalah sama dengan suhu badan pesakit.